■ Buku Nota Iman

Mohon iman tersemai di hati, Moga hidup dipandu Ilahi



Selamat datang ke blog personal Alfi Ramadhani. Moga apa yang tertulis di sini membawa kebaikan. Andai ada salah & silap, teguran anda semua sangatlah diharapkan. Selamat membaca! :)

Thursday, October 12, 2017

Impian (feat. Kanda River)

1 comment :
Manusia takkan pernah habis dengan impian dan cita-cita.
Bila salah satu impian sudah dicapai, ada impian baru yang ingin digapai lagi.

Oleh sebab itu, nikmati setiap usaha, penat, keringat dalam menghadapi perjalanan menuju impian tersebut.

Kalau kita tak nikmati usaha itu, mungkin kita akan cepat rasa berputus asa dan berhenti separuh jalan.

Setkan dalam minda, yang penting bukan impian, tapi usaha dalam mencapai impian itu.
Sebab, cara & masa yang diambil untuk mendapat sesuatu hasil itu berlainan untuk setiap orang.

Ada orang yang lebih mudah dapat sesuatu. Ada orang yang ambil lebih banyak masa untuk hasilkan sesuatu.
Jadi, jangan cepat rasa mengalah dengan orang-orang di sekeliling kita yang sudah berjaya.

Yang penting, kita ada cara kita sendiri. Kita ada jalan cerita kita sendiri.
.
Kredit: @mshariffuddin

‪Pengurusan Hidup 101‬

No comments :

‪• buat plan‬
‪• buat backup plan‬
‪• buat sistem‬
‪• buat documentation‬
‪• disiplin mengikut plan‬
‪.‬
‪Amalkan supaya hidup anda kurang bermasalah.‬
#notetoself

*kredit: Rilakkuma wallpaper

Tuesday, October 10, 2017

Acah Rebel

No comments :
Di sekolah dahulu, setiap kali ada program motivasi, aku selalu join dengan minda/mindset rebel.

Contoh seperti bila tiba malam untuk reflect diri kita dengan parent kita (kami panggil (liqa' muhasabah), kalau dari luar nampak macam aku tengah tekun je diam & dengar bebelan fasi & conductor program tu, (sambil dengar budak-budak lain insaf menangis teresak-esak) tapi dalam hati punyalah aku persoalkan setiap ayat yang keluar daripada fasi tersebut, mana-mana yang aku rasa tak kena.

Macam contoh, bila dia tinggikan suara kata;
Korang ni anak derhaka apa semua, tak selalu call mak ayah, dan pelbagai tuduhan lain dilemparkan kepada kami.
Dalam hati aku kata; "Korang siapa pula nak judge kami?"
"Pemikiran stereotaip la abang ni. Bukan semua orang macam tu."
Dan lain-lain.

Haha. Perasan diri sendiri betul dalam banyak benda.
Sikap rebel & sedikit narsisme (mungkin ego lebih sesuai) ini berlanjutan sehinggalah masuk ke universiti. Apa yang lecturer ajar pun nak rebel (dalam hati of course) 😂.
Sudahnya, selepas beberapa tahun, bila reflect balik, aku ni tak adalah betul sangat pun. Banyak benda aku tak faham, banyak benda aku tak tahu.

Dan bila dah kerja sekarang ni, bagi aku, budak-budak universiti ni walaupun dah nampak macam dewasa, depa ni memang tak matang lagi, lagi-lagi yang belah lelaki. Bukan semua orang begini tapi pada pendapat aku, ramai begini.😂

Sebab tu, aku respek betul kalau mana-mana anak muda yang dari awal lagi sudah ada kesedaran, sudah mampu buat keputusan-keputusan yang rasional dan matang, sudah mampu galas tanggungjawab besar, sudah mampu berdikari, merancang masa depan, mengelak dari sebarang tindakan-tindakan yang tak wajar & berjaya buat beberapa achievement yang boleh dibanggakan. Siap boleh kahwin. Fuh.

Korang osem.
Teruskan keoseman korang. ( T v T)

Matematik Super

No comments :

Di tahun pertama pengajian aku di UIAM Gombak dahulu, aku ada 2 buah kitab agung (the ultimate note), untuk subjek Calculus & Arithmetic.

2 buah buku tersebut aku karang selepas mengalami 2 kali kegagalan agung untuk subjek Matematik dalam tempoh 2 semester berturut-turut.
Buku ini adalah kompilasi segala formula, konsep & penerangan ringkas yang aku susun dengan susunan yang aku seorang sahaja faham, agaknya.

Selepas kewujudan nota ini, sesi ulangkaji di minit-minit terakhir tidak lagi menjadi masalah kerana aku boleh mengulangkaji seluruh bab-bab di dalam silibus buku teks hanya dalam 1 malam.

Selepas 2 semester gagal, di semester ketiga aku dapat A- untuk subjek Matematik ini. Menangis terharu syeikh.
Aku tak pasti di mana aku simpan kitab tersebut tetapi aku harap buku itu masih ada lagi.

Kesimpulannya, bila masuk ke universiti, mohon jangan belajar sambil lewa. Kalau nak bermalas-malasan, mungkin lebih baik drop awal-awal di tahun pertama. :v

Cerita ini tiada kaitan dengan gambar di bawah, tetapi sesiapa yang ingin asah lagi kemahiran Matematik, boleh hadir ke bengkel seperti yang tertera di poster ini. 😂

Friday, September 29, 2017

Ejaan Rumi bagi Kata Pinjaman

No comments :


Dah 2017, tapi masih ada orang pertikai ejaan dalam rumi. 💆🏻‍♂️
Macam isu eja "insya-Allah".
Kalau nak ejaan dengan definisi yang betul, ejalah dalam huruf hija-iyah.

Nak define bahasa Arab, eja dalam huruf Arab. Nak define bahasa Korea, eja dalam Hangeul. Nak define bahasa Jepun, eja dalam Hira-Kata-Kanji.
Ejaan rumi atau ejaan dalam huruf asing selain huruf asal bahasa bangsa itu, tak akan memberi makna sebenar. Dan ia tak akan mampu menggambarkan cara sebutan & lenggok bunyi sebenar daripada bahasa asal itu. Ejalah macam mana sekalipun, asalkan bunyinya kena, maka tak perlu dipersoalkan lagi. Ia sekadar gambaran.

Kalau nak rujuk ejaan rumi standard yang digunakan bangsa Melayu, boleh semak ejaan di laman web DBP. Standard dah ada. Kalau masuk dalam peperiksaan pun, tiba-tiba ustaz kata ejaan kamu salah, nah tunjuk pada beliau rujukan dari DBP.

Mungkin ustaz itu tidak salah, tapi anda juga tidak salah. Ia hanyalah kata pinjaman daripada bahasa asing yang digunakan di dalam bahasa Melayu, maka sudah tentulah ejaannya yang tepat daripada huruf asal bahasa asing tersebut.

Sekarang, beritahu aku ejaan rumi yang paling tepat untuk kalimah "hijaiyah". 😂
Maksud aku, هجاءية .

// selingan

Thursday, September 28, 2017

Aku di RnR Dengkil

No comments :
Pernah satu hari dalam perjalanan pulang selepas aku selesai beri taklimat ringkas untuk peserta-peserta trip yang akan berlepas ke Seoul, Korea dari KLIA 2, aku singgah di hentian RnR Dengkil untuk solat Subuh sebentar. Aku hentikan motorsikal dan letakkan di kawasan letak motor berhampiran dengan surau di situ.
.
Selesai aku ambil wudhu', sedang aku menuju ke ruang solat, aku disapa oleh seorang abang yang memohon sedikit derma untuknya. Tidak seperti hari-hari lain, pagi itu aku hanya mampu berikan senyum tawar dan katakan padanya,
" Maaf bang, saya sendiri pun tak ada duit dah sekarang,"
Dia pandang aku sejenak sebelum berlalu pergi. Reaksinya seperti sudah biasa mendengar alasan seperti itu.
.
Tapi pada waktu itu apa yang boleh aku buat untuk buktikan yang aku benar-benar sudah tidak cukup wang. 2 ringgit yang aku ada waktu itu hanya cukup-cukup untuk aku gunakan bagi mengisi minyak petrol motorsikalku bagi menampung lebih kurang separuh lagi perjalanan aku selepas ini. Selepas itu, aku hanya berserah.
.
Lalu aku terfikir.
Andai waktu itu aku punyai wang lebih sedikit daripada cukup-cukup, insyaAllah pasti aku akan berikan juga walau sedikit (sebab kebiasaannya aku akan beri juga atas rasa serba salah dengan diri sendiri atau akan ada rasa agak bakhil atau malu dengan Tuhan kalau tak tolong orang yang lebih memerlukan walau RM1).
.
Abang itu sebenarnya sudah temui orang yang betul untuk bantu dia tetapi mungkin bukan rezeki dia waktu itu, prospek dia waktu itu ketiadaan wang. Andai kata dia minta lagi sedikit wang dengan aku pada waktu lain, insyaAllah, akan adalah sedikit rezeki dia untuk hari tu. Tidak seperti pagi ini.
.
Kemudian aku terfikir pula pasal chain of rezeki.
Rezeki yang Allah mahu berikan pada kita ini datang dari pelbagai sumber; datang daripada seseorang, dipindahkan kepada orang lain, kemudian dipindahkan kepada seseorang lagi, kemudian sampai pula kepada majikan kita atau sesiapa yang Allah takdirkan untuk bantu salurkan rezeki kita, kemudian barulah sampai kepada kita, dan kemudian sepatutnya ada bahagian dari rezeki itu disalurkan pula kepada orang lain.
.
Lalu aku terfikir, kalau-kalau ada salah silap yang aku lakukan yang mungkin menyebabkan Allah mahu uji aku dengan rezeki yang kurang pada masa itu, lalu sumber saluran rezeki aku pula, yakni majikan atau sesiapa di atas aku pula yang disempitkan juga rezeki mereka buat seketika atas sebab aku. Waktu itu, aku hanya mampu istighfar dan mohon ampun, seandainya ada bala/ujian yang Allah mahu timpakan pada aku, ditimpakan juga pada orang-orang di sekeliling aku. Na'uzubillah.
.
Selesai muhasabah pagi sekejap di surau itu, aku teruskan perjalanan ke Shah Alam selepas mengisi petrol di stesen Petronas berhampiran. Menarik juga kalau dapat pekena nasi lemak sebungkus dahulu sebelum menunggang motorsikal semula tetapi apakan daya, motor ini lebih memerlukan RM2 ini daripada perutku. Mungkin aku juga boleh minta pinjamkan sedikit wang daripada abang tadi kerana pada waktu itu mungkin dia sudah punyai lebih banyak wang daripadaku, bukan? 😂

Gambar sekadar hiasan. Kredit : foursquare{dot}com
.

Thursday, September 21, 2017

Sandaran Saddu al-Zaraai' dalam Penguatkuasaan Undang-undang Islam Malaysia

No comments :
*sumber :
IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-3: SUMBER-SUMBER HUKUM DALAM ILMU USUL AL-FIQH

Adalah menyedihkan apabila ada di antara kita masih mempertikaikan tindakan pihak penguasa dalam menutup ruang dan jalan menuju kemaksiatan di tanah air kita ini.
Seharusnya kita sebagai umat Islam, perlu cuba bersungguh-sungguh memahami atas dalil atau bukti sandaran apa, setiap tindakan pihak penguatkuasa agama itu dilaksanakan.
.
Ada yang berkata, dengan nada sinis,
"Lemah sangat iman rakyat Malaysia ni, baca sikit edaran Bible bahasa Melayu, terus sesat,"
"Lemah sangat iman orang kita ni, tengok movie unsur gay sikit terus jadi homoseksual,"
.
Sebab tindakan penguatkuasa agama ini telah dijelaskan oleh para alim ulama' kita sendiri, tetapi sejauh mana pula kita cuba mencari jawapan & penjelasan daripada mereka ini?
.
Setiap umat Islam yang benar-benar mencari redha Tuhan-Nya & benar-benar mahu bertemu dengan-Nya, akan berlumba-lumba mengejar kebaikan & menyebarkan kebaikan, begitu juga menghalang perkara-perkara mungkar.
.
Kerana, mahu ataupun tidak, di negeri akhirat nanti, mereka yang ingkar dari ajaran Tuhan itu akan menyalahkan pula sahabat-sahabatnya yang berbuat baik, tetapi tidak mengajak manusia di sekelilingnya menuju hidup berlandaskan Tuhan.
Saat itu, apa hujah bekalan yang kita ada?

- - -
#notetoself #wu #wartawanummah
Dimensi | Tajuk: Pengharaman Arak Menurut Islam
.

Intipati An-Nur Ayat 55-64 Tafsir Fi Zilalil Quran

No comments :

#notetoself
Kekuasaan ke atas muka bumi ini telah dijanjikan Allah. Dan siapa lagi yang lebih menepati janji selain daripada Allah?
.
Kekuasaan yang sebenar-benar kekuasaan ini hanya diberikan kepada orang beriman & bermal soleh.
Ini kerana kekuasaan ini hanya layak dipikul oleh khalifah yang mampu melaksanakan amanah Allah. Hal ini tidak dapat ditunaikan oleh pemimpin yang tidak memiliki iman yang teguh.
.
Mereka juga tidak sekali-kali menyekutukan Allah dengan sesuatu pun (taghut, syahwat dan lain-lain).
Bila syarat-syarat yang ditetapkan Allah ini tertunai, maka janji-Nya juga pasti tertunai.
.
Hal ini telah dibuktikan dengan sejarah umat terdahulu yang diberikan kekuasaan setelah mereka beramai-ramai kembali kepada Allah. Mereka yang pada awalnya hanya mampu mengamalkan perintah Allah dalam keadaan takut-takut, kini boleh mangamalkan hidup mengikut syariat Allah dalam keadaan aman & tenang.
.
Namun, setelah beberapa tempoh tertentu, Allah menarik kembali kekuasaan itu, atas sebab manusia itu sendiri, yang meninggalkan syarat-syarat pemilikan kekuasaan tersebut. Ada yang kembali mengumpul habuan dunia, terpesona dengan nafsu syahwat dan lain-lain.
.
Bila umat Islam tidak menepati syarat ini, bukan sahaja mereka gagal memiliki kekuasaan, bahkan mereka akan terkebelakang dalam banyak sudut, seperti yang berlaku hari ini. Lalu, mereka dikalahkan pula oleh orang yang ingkar kepada Allah.

Komen Terkini