Mohon iman tersemai di hati, Moga hidup dipandu Ilahi



Selamat datang ke blog personal Alfi Ramadhani. Moga apa yang tertulis di sini membawa kebaikan. Andai ada salah & silap, teguran anda semua sangatlah diharapkan. Selamat membaca! :)

Thursday, September 28, 2017

Aku di RnR Dengkil

No comments :
Pernah satu hari dalam perjalanan pulang selepas aku selesai beri taklimat ringkas untuk peserta-peserta trip yang akan berlepas ke Seoul, Korea dari KLIA 2, aku singgah di hentian RnR Dengkil untuk solat Subuh sebentar. Aku hentikan motorsikal dan letakkan di kawasan letak motor berhampiran dengan surau di situ.
.
Selesai aku ambil wudhu', sedang aku menuju ke ruang solat, aku disapa oleh seorang abang yang memohon sedikit derma untuknya. Tidak seperti hari-hari lain, pagi itu aku hanya mampu berikan senyum tawar dan katakan padanya,
" Maaf bang, saya sendiri pun tak ada duit dah sekarang,"
Dia pandang aku sejenak sebelum berlalu pergi. Reaksinya seperti sudah biasa mendengar alasan seperti itu.
.
Tapi pada waktu itu apa yang boleh aku buat untuk buktikan yang aku benar-benar sudah tidak cukup wang. 2 ringgit yang aku ada waktu itu hanya cukup-cukup untuk aku gunakan bagi mengisi minyak petrol motorsikalku bagi menampung lebih kurang separuh lagi perjalanan aku selepas ini. Selepas itu, aku hanya berserah.
.
Lalu aku terfikir.
Andai waktu itu aku punyai wang lebih sedikit daripada cukup-cukup, insyaAllah pasti aku akan berikan juga walau sedikit (sebab kebiasaannya aku akan beri juga atas rasa serba salah dengan diri sendiri atau akan ada rasa agak bakhil atau malu dengan Tuhan kalau tak tolong orang yang lebih memerlukan walau RM1).
.
Abang itu sebenarnya sudah temui orang yang betul untuk bantu dia tetapi mungkin bukan rezeki dia waktu itu, prospek dia waktu itu ketiadaan wang. Andai kata dia minta lagi sedikit wang dengan aku pada waktu lain, insyaAllah, akan adalah sedikit rezeki dia untuk hari tu. Tidak seperti pagi ini.
.
Kemudian aku terfikir pula pasal chain of rezeki.
Rezeki yang Allah mahu berikan pada kita ini datang dari pelbagai sumber; datang daripada seseorang, dipindahkan kepada orang lain, kemudian dipindahkan kepada seseorang lagi, kemudian sampai pula kepada majikan kita atau sesiapa yang Allah takdirkan untuk bantu salurkan rezeki kita, kemudian barulah sampai kepada kita, dan kemudian sepatutnya ada bahagian dari rezeki itu disalurkan pula kepada orang lain.
.
Lalu aku terfikir, kalau-kalau ada salah silap yang aku lakukan yang mungkin menyebabkan Allah mahu uji aku dengan rezeki yang kurang pada masa itu, lalu sumber saluran rezeki aku pula, yakni majikan atau sesiapa di atas aku pula yang disempitkan juga rezeki mereka buat seketika atas sebab aku. Waktu itu, aku hanya mampu istighfar dan mohon ampun, seandainya ada bala/ujian yang Allah mahu timpakan pada aku, ditimpakan juga pada orang-orang di sekeliling aku. Na'uzubillah.
.
Selesai muhasabah pagi sekejap di surau itu, aku teruskan perjalanan ke Shah Alam selepas mengisi petrol di stesen Petronas berhampiran. Menarik juga kalau dapat pekena nasi lemak sebungkus dahulu sebelum menunggang motorsikal semula tetapi apakan daya, motor ini lebih memerlukan RM2 ini daripada perutku. Mungkin aku juga boleh minta pinjamkan sedikit wang daripada abang tadi kerana pada waktu itu mungkin dia sudah punyai lebih banyak wang daripadaku, bukan? 😂

Gambar sekadar hiasan. Kredit : foursquare{dot}com
.

No comments :

Post a Comment

Kata-kata anda amat berharga..! =D

Komen Terkini