Mohon iman tersemai di hati, Moga hidup dipandu Ilahi



Selamat datang ke blog personal Alfi Ramadhani. Moga apa yang tertulis di sini membawa kebaikan. Andai ada salah & silap, teguran anda semua sangatlah diharapkan. Selamat membaca! :)

Thursday, September 01, 2016

Benarkah rakyat Malaysia tidak suka membaca?

No comments :
SETAKAT mana perumpamaan buku sebagai gedung segala ilmu masih relevan? Ini kerana pemantauan Unit Khas Utusan Malaysia mendapati rakyat Malaysia tidak membaca. Pendek kata, mereka tidak suka buku.
Pemantauan di beberapa lokasi tumpuan umum di Lembah Klang baru-baru ini mendapati membaca tidak menjadi suatu budaya di kalangan masyarakat negara ini.

Siasatan wartawan, ROSALINDA MD.SAID serta jurugambar MUHAMMAD SYAFIQ IQBAL dan MOHD HATIM MAZLAN mendapati tidak sampai 10 peratus orang ramai di lokasi umum atau di dalam pengangkutan awam yang membaca buku.

Malah paling menyedihkan, Perpustakaan Negara Malaysia, perpustakaan negeri, daerah dan desa juga lengang. Hanya 10 hingga 30 orang mengunjungi gedung-gedung ilmu itu dalam sehari.

Tidak hairanlah profil kajian membaca di Malaysia tidak bergerak, cuma purata dua naskhah buku dibaca setiap rakyat setiap tahun.

Artikel Penuh:
Utusan Online | Tiada orang baca buku di Stesen LRT, tren, komuter, bas dan tumpuan umum --
© Utusan Melayu (M) Bhd, 22/02/2010

Benarkah rakyat Malaysia tidak suka membaca?
Pendapat anda?


Saya bukanlah orang yang sesuai untuk membincangkan hal ini, tetapi ini hanyalah coretan berdasarkan pendapat peribadi saya sendiri.

Sejak tahun lepas, saya tidak pasti bagaimana saya bermula tetapi ada sesuatu yang telah membuatkan saya berasa begitu berminat untuk mempelajari pelbagai perkara & keinginan saya ini membuatkan saya begitu dahagakan ilmu. Kalau boleh, saya mahu tahu tentang semua perkara dan saya berasa begitu jengkel dengan diri sendiri jika saya tiada pengetahuan mengenai sesuatu perkara yang saya lihat. Namun, saya tahu saya bukanlah begitu pintar untuk mempelajari semua ini dalam sekelip mata. Justeru, saya mulakan membaca apa-apa yang saya mahu tahu sedikit demi sedikit.

Saya juga mula membeli pelbagai e-book yang dijual di internet yang menawarkan ilmu-ilmu mengenai hartanah, perniagaan, pembelajaran bahasa, pengurusan kewangan, pengaturcaraan komputer dan lain-lain. Banyak juga e-book yang saya beli dan saya simpan kesemuanya di dalam akaun Google Play Books saya. Dengan cara itu, saya boleh membaca bila-bila masa, di mana-mana melalui smartphone saya.

Alhamdulillah, saya dapat lihat hasilnya sendiri. Orang lain memang tidak nampak, tetapi kita berasa puas dapat melihat perubahan pada diri kita. Banyak perkara yang saya pelajari. Minda saya semakin berkembang. Saya dapat faham banyak perkara yang sebelum ini saya tidak tahu apa-apa mengenainya.

Disebabkan saya dapat konsisten mengamalkan tabiat membaca ini, saya bertekad membeli sebuah tablet baru bagi kegunaan khusus untuk membaca kerana membaca melalui smartphone yang bersaiz kecil agak kurang memuaskan. Saya beli sebuat tablet berjenama Lenovo melalui Mudah.my. Harga tab ini tidak sampai RM400 (second-hand) tetapi banyak manfaat yang dapat diperoleh daripadanya dan saya masih menggunakannya sehingga kini. Bagi sesiapa yang berkemampuan, anda juga boleh menggunakan device lain yang lebih selesa seperti Kindle & iPad.


Kini, terdapat pelbagai jenis gadget yang tersedia di pasaran dengan harga berpatutan, dan rata-rata rakyat Malaysia kini sudah mampu memiliki smartphone untuk pelbagai kegunaan. Jika kita renung betul-betul, gadget seperti ini biasanya digunakan untuk bermain game dan tidak digunakan sepenuhnya untuk manfaat diri. Tidak hanya terhad untuk melayari internet dan bermain game, kini terdapat juga pelbagai aplikasi yang bermanfaat untuk digunakan sebagai pembelajaran dengan cara yang lebih menyeronokkan. Malangnya, tidak semua daripada kita memanfaatkan kemudahan ini.

Saya kini dapat membaca buku-buku kegemaran saya bila-bila saya mempunyai masa senggang. Ketika menaiki tren, menunggu kenalan atau tetamu dan lain-lain. Benar, banyak manfaat yang dapat kita peroleh dengan tabiat ini. Saya begitu kesal kerana saya tidak mula mengamalkan tabiat ini lebih awal. Bayangkan, berapa banyak yang kita boleh pelajari jika kita mampu menghabiskan sekurang-kurangnya satu buku dalam seminggu secara konsisten sejak kita masih berusia belasan tahun?

Saya juga kesal kerana saya tidak memanfaatkan masa saya di sekolah dahulu untuk berusaha memahami segala matapelajaran yang diajar di sekolah. Sejujurnya, saya berjaya memperoleh sijil SPM dengan keputusan yang sederhana dan memasuki universiti tempatan yang agak ternama tanpa usaha yang gigih, dan saya masih kesal dengan tindakan saya itu. Padahal, jika saya berusaha bersungguh-sungguh sepertimana saya berusaha membaca & belajar seperti sekarang ini, saya yakin saya mampu memperoleh keputusan yang lebih baik, dengan izin Allah.

Kesimpulannya, saya tidak mahu anda merasai kekesalan yang saya alami sekarang. Rajin-rajinkanlah diri anda untuk menyelak buku-buku yang tersedia di perpustakaan, kedai buku dan juga banyak bahan bacaan ilmiah di internet. Jika anda tidak mampu memahami sesuatu, tanyalah pada sesiapa yang anda tahu mempunyai kepakaran mengenai ilmu tersebut. Membaca tanpa rujukan yang sahih juga boleh menimbulkan salah faham dan masalah pada diri kita. Namun, tidak ada ruginya jika anda membaca begitu banyak buku. Hanya minta pengesahan daripada guru-guru, tutor, ustaz atau sesiapa yang faqih dalam bidang tersebut, bila mana anda memerlukan bantuan. Semoga berjaya! :D

Jadi, benarkah rakyat Malaysia tidak suka membaca?
Pendapat anda? (Lari tajuk sangat ni.. Haha..)

Bacaan tambahan --
zamrimohamad.com || Gerakan membaca | Baca@LRT cipta sejarah besar

No comments :

Post a Comment

Kata-kata anda amat berharga..! =D

Komen Terkini